Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
kita panjatkan puji dan syukur ke atas yang maha esa,
Kita sampaikan salam dan selawat buat junjungan besar Muhammad s.a.w.
ucapan terima kasih saya zahirkan kepada anda semua
insan yang sudi meminjamkan deria
untuk sekilas kata yang diolah untuk tatapan bersama
2. Syukur Alhamdulillah, dengan taufik dan keredhaan Allah
Subhanahu Wataala dapat kita berkongsi bersama ilmu yang terkurnia
Saudara-saudari sekalian,
3. Dunia kehidupan belia hari ini semakin kompleks.
Masalah yang ditimbulkan oleh orang-orang muda di negara
Eropah dan Amerika telah membimbangkan kerajaan mereka.
Masalah-masalah penagihan najis dadah, masalah 'generation
gap' dan kurang hormat kepada orang tua, masalah jenayah
yang dilakukan tanpa sebab dan lain-lain lagi telah memaksa
perhatian masyarakat terhadap keruntuhan akhlak yang amat
bahaya di Barat.
4. Penyakit ini sudah merebak hinggakan ke Timur. Melalui
kemajuan sistem komunikasi, Timur diserang bertalu-talu
dengan nilai-nilai Barat dan ada bukti yang tembok
pertahanan Timur sudah runtuh di sana sini. Dadah,
jenayah, keganasan belia, demonstrasi tanpa sebab,
vandalisma dan lain-lain gejala sudah menjadi perkara biasa
di beberapa negara Timur yang sedang membangun dan yang
sedang mengambil langkah ke arah demokrasi.
5. Naluri belia ialah mereka mudah terpikat dengan
idealisma. Sementara idealisma amat diperlukan oleh
masyarakat, pemilik idealisma yang muda mudah membelakangkan
kenyataan dan mudah juga dipengaruhi. Dengan itu amatlah
mudah bagi belia yang mengejar idealisma diperalatkan oleh
orang-orang tertentu yang berkepentingan. Seterusnya tenaga
yang harus diguna untuk membangunkan negara disalurkan ke
arah mengancam kestabilan sehingga negara tidak dapat
membangun dan bersaing dengan negara-negara yang sudah
maju. Maka terpeliharalah negara yang maju ini daripada
persaingan oleh negara yang berpotensi di antara yang
membangun.
6. Kita tidak mahu balik ke zaman dahulu di mana belia
mesti menerima tanpa soal semua yang disarankan oleh orang
dewasa. Amalan ini akan menjadikan sesuatu masyarakat atau
negara itu statik, tidak bergerak maju. Amalan ini akan
mengekalkan pendapat dan perbuatan yang salah dan merugikan.
Di zaman moden masyarakat yang terlalu dikongkong oleh
tradisi tidak mampu bersaing dengan masyarakat yang dinamik.
Tetapi tradisi tidak harus dihapuskan semata-mata kerana ia
adalah tradisi. Hanya tradisi yang jelas menghalang
kemajuan sahaja yang perlu dikaji dan diganti dengan amalan
yang baru yang jelas boleh memberi manfaat.
Saudara-saudari sekalian,
7. Satu perkara yang amat merbahaya ialah menerima
bulat-bulat pendapat pihak lain, terutama pihak negara yang
sudah maju. Kita sering lupa bahawa pendapat mereka telah
melalui satu evolusi yang berkait rapat dengan evolusi
masyarakat mereka. Amalan demokrasi mereka bermula dengan
kebebasan yang sedikit sahaja, kebebasan yang sesuai dengan
keadaan masyarakat mereka ketika itu. Di Britain umpamanya
wanita hanya boleh mengundi selepas Perang Dunia Pertama,
iaitu hampir seratus tahun selepas demokrasi diterima di
negara itu. Di Switzerland, wanita mula mengundi 20 tahun
dahulu sahaja, lebih lewat daripada kita. Demikian juga
dengan kebebasan akhbar. Pada mulanya banyak berita tidak
boleh disiarkan. Pihak akhbar di Britain mempunyai badan
sukarela untuk menapis berita yang boleh disiar. Hanya 10
tahun selepas Perang Dunia Kedua barulah 'self-censorship'
ini dihapuskan.
8. Hari ini pun mereka masih mengamalkan penapisan berita.
Hanya berita yang disukai oleh media mereka sahaja yang
disiarkan. Yang tidak disukai oleh mereka, khususnya yang
menunjukkan pihak lain adalah baik dan berjaya, di'censor'
oleh media Barat. Laporan media Barat selalunya berat
sebelah. Namun mereka mendakwa media mereka bebas dan ramai
daripada kita di sini menerima bulat-bulat dakwaan kebaikan
dan keadilan mereka. Demikianlah terpengaruhnya kita
sehingga kita menafikan tentang adanya kebebasan
akhbar di negara sendiri di mana kecaman, fitnah dan tohmah
terhadap Kerajaan disiarkan tiap-tiap hari oleh akhbar dan
majalah tempatan dan asing.
9. Belia negara kita janganlah terlalu mudah menerima
dakwaan dan nilai-nilai yang dibuat oleh negara yang sudah
maju di Barat. Ingatlah di waktu mereka berada di tahap
pembangunan yang kita alami sekarang, nilai-nilai mereka
tidak sebegitu liberal seperti sekarang. Hanya setelah
mereka sudah maju dan kukuh barulah mereka sanggup
membenarkan kegiatan dan falsafah yang boleh menggangu
pembangunan mereka.
10. Walaupun mereka sudah membangun dan kukuh, mereka tahu
bahawa nilai-nilai mereka masih boleh
menghalang kemajuan mereka. Kita syak bahawa untuk
menentukan kita tidak dapat mengejar mereka, mereka cuba
mengembangkan segala nilai negatif di kalangan kita supaya
pembangunan kita terganggu sebelum pun kita mencapai tahap
pembangunan yang kukuh. Justeru itu, jentera tidak rasmi
mereka sering mengancam kita kerana tidak demokratik, tidak
bebas, tidak adil dan lain-lain lagi. Yang lemah di antara
kita akan berasa malu kerana dituduh tidak demokratik dan
sebagainya dan kumpulan ini akan turut mengecam negara
sendiri, bahkan menimbulkan masalah dalam negara. Dengan
itu pembangunan negara kita akan terjejas dan kita tidak
dapat mengejar dan bersaing dengan negara-negara maju.
11. Apa yang diperlukan sekarang bukanlah penolakan semua
nilai-nilai kebaratan tetapi kajian yang diasaskan kepada
keperluan kita dan situasi negara kita dengan tujuan untuk
membuang yang keroh dan mengambil yang jernih.
Saudara-saudari sekalian,
12. Satu daripada nilai-nilai yang telah menolong negara
maju dahulu tetapi sudah dianggap usang sekarang ialah
patriotisme. Di waktu negara-negara barat sedang membangun
dengan pesat dahulu, mereka memuja patriotisme. Anak-anak
muda mereka dipupuk dengan semangat patriotisme sehingga
mereka rela mengorbankan harta dan nyawa untuk negara
mereka. Mereka bekerja kuat dan mereka sanggup
dihantar ke tanah jajahan yang jauh dari tanahair mereka
untuk mempertahankan bendera negara. Ramai daripada mereka
ini terbunuh dalam peperangan atau kerana penyakit. Kubur
mereka terdapat di mana sahaja. Kubur mereka menjadi bukti
kegigihan semangat patriotisme mereka.
13. Zaman beredar dan sekarang ini mereka kecewa kerana
kehilangan empayar mereka. Patriotisme sudah tidak
diperlukan lagi dan mereka memburuk-buruk dan mempermainkan
semangat ini dan ramailah pula daripada kita turut menerima
nilai mereka ini.
14. Kita harus memikir sendiri mengenai patriotisme ini.
Negara kita sedang membangun. Kita tidak berhajat mendirikan
empayar tetapi kita mahu pencapaian yang tinggi dalam
bidang-bidang tertentu. Untuk ini kita tidak boleh didorong
semata-mata oleh materialisme. Satu semangat kekitaan yang
kuat mesti ada pada kita. Satu semangat kebangsaan yang
kukuh mesti mempengaruhi kita. Kita harus didorong oleh
patriotisme, oleh kebanggaan dengan bangsa kita.Tiap sesuatu
yang kita buat hendaklah jangan semata-mata kerana diri
sendiri tetapi juga kerana bangsa dan negara. Bagi yang
betul-betul patriotik jika kepentingan diri bertentangan
dengan kepentingan bangsa dan negara, kepentingan diri
mengambil tempat kedua. Yang utama ialah bangsa dan negara.
15. Kita tidak mahu patriotisme secara buta-tuli. Kita
tidak menerima maxim, "My country, may
it always be right, but my country right or wrong."
Patriotisme yang kita mahu ialah patriotisme yang boleh
dipertahankan. Patriotisme kita bukan untuk menceroboh
orang lain tetapi untuk kebaikan kita. Di sini kita
menghadapi masalah kerana jika seseorang individu cuba
menilai patriotisme sendiri, ia mungkin salah. Justeru itu
adalah lebih baik jika kita menerima penilaian yang diakui
ramai. Dengan itu semangat patriotik kita tidak akan
menyebabkan kita berpuak-puak yang bermusuh antara satu
dengan yang lain. Berpuak-puak dan bermusuh antara kita
sesama kita tetap akan menghancurkan semangat patriotisme.
Inilah yang berlaku apabila komunis membuat tafsiran mereka
sendiri dan menganggap orang lain tidak cintakan negara dan
mereka melancarkan peperangan terhadap puak yang tidak
menyertai mereka.
16. Para belia harus memupuk semangat setia dan sayang
kepada bangsa dan negara dan patriotisme ini hendaklah
menjamin kita tidak membuat apa-apa yang merugikan bangsa
dan negara. Sebaliknya sebarang tindakan yang kita ambil
mestilah membawa manfaat kepada bangsa dan negara.
Saudara-saudari sekalian,
17. Satu perkara yang menekan sekarang ialah pengangguran
di kalangan belia. Untuk mengatasi masalah ini kita perlu
meningkatkan proses industrialisasi kerana hanya
kilang-kilang pembuatan sahaja yang boleh menyediakan
peluang-peluang kerja dengan banyak.
18. Kilang pembuatan memerlukan pelaburan yang banyak dan
teknologi yang moden. Tidak ramai daripada para pelabur
dalam negeri yang memiliki modal dan teknologi untuk
mengadakan kilang-kilang besar dan moden. Oleh itu,
pelaburan asing amatlah penting untuk menyediakan
peluang-peluang pekerjaan.
19. Untuk menarik pelaburan asing Kerajaan telah
menyediakan banyak insentif. Tetapi insentif yang terbesar
sekali ialah kestabilan negara dan kesanggupan rakyat
Malaysia untuk bekerja kuat dan menjayakan perusahaan
berkenaan. Sebarang kegiatan yang memberi gambaran bahawa
Malaysia tidak stabil merupakan penghalang kepada usaha
mengatasi masalah pengangguran. Saya berharap para belia
sendiri dan lain-lain pihak tidak membuat apa-apa yang
boleh memburukkan imej negara sebagai tempat yang paling
sesuai untuk pelaburan. Perbuatan demikian akan
menganiayakan belia yang masih menganggur walau apapun
kelulusan mereka.
Saudara-saudari sekalian,
20. Semuanya yang berlaku adalah takdir Tuhan. Tetapi
nasib kita tidak akan berubah melainkan kita sendiri
mengubahkannya. Jika kita belajar dan menguasai ilmu, nasib
kita tidak akan sama dengan nasib kita jika kita tidak
belajar dan tidak memiliki ilmu. Demikian juga jika kita
tidak berusaha, kita malas, kita tidak jujur - nasib kita
tidak akan sama dengan nasib kita jika kita berusaha, kita
rajin dan kita jujur.Walaupun akhirnya Tuhan yang menentukan
segala-galanya, ini tidak bermakna bahawa kita sendiri tidak
boleh mempengaruhi apa yang berlaku kepada kita.
Saudara-saudari sekalian,
21. Apa yang akan jadi kepada kita apabila kita tua banyak
bergantung kepada apa yang kita buat semasa kita muda.
Zaman muda tidaklah lama jangka masanya. Kemudian kita akan
beralih ke zaman tua. Oleh yang demikian rebutlah lima
kesempatan sebelum kesempitan, iaitu: sihat sebelum sakit,
kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua
dan hidup sebelum mati.
22. Saya yakin belia berilmu akan menjayakan negara.
Marilah kita semua berusaha sedaya upaya memperjuang dan
mempertahankan masa depan bangsa, agama dan negara kita.